Sunday, June 25, 2006

Masih ingatkah lagi pada Jolo?




Beberapa hari lalu ketika menyelak suratkhabar, terpandang wajah Nur Misuari, bekas pemimpin Barisan Pembebasan Bangsa Moro atau MNLF. Beliau kini sedang dibicarakan atas tuduhan mengkhianat pada negara Filipina. Ketika membaca perkembangan terbaru tentang pejuang Bangsa Moro itu terkenang kembali pengalaman bertemu beliau di bumi Jolo.

Jolo tenggelam dan timbul di dada-dada akhbar tetapi kisahnya tetap sama, peperangan, kematian dan keganasan yang tidak berkesudahan. Dalam pertempuran terbaru lebih 70 orang terbunuh termasuk orang awam. Tergerak hati untuk membelek kembali gambar-gambar lama yang dirakam ketika berada di Jolo, Sulu, di selatan Filipina. Pada waktu itu Jolo berada di mata dunia dengan kisah penculikan oleh kumpulan Abu Sayyaf. Walaupun telah lima tahun berlalu tentu ramai yang masih ingat tentang kisah penculikan 13 pelancung asing di Pulau Sipadan termasuk 9 dari Malaysia.

Ketika menatap kembali gambar-gambar yang dirakamkan, bagai terbayang suasana di Jolo ketika ini. Bagi saya, biar ke destinasi mana pun seterusnya dalam tugas saya sebagai wartawan, Jolo tetap kukuh dalam ingatan. Bukan kerana keindahannya, bukan kerana keghairahan dan keseronokan yang ditawarkannya tetapi kerana keperitan hidup yang tak berkesudahan yang terpaksa dilalui oleh saudara Islam kita disana. Keghairahan mengejar tragedi yang seterusnya, membuatkan media sering lupa dengan tragedi yang sudah berlalu. Ketika ini tragedi di Aceh berada di dalam perhatian media, hampir lima tahun dulu Jolo menjadi igauan kami golongan wartawan. Namun saya tertanya berapa ramai yang masih ingatkan Jolo sekarang?

Tujuan saya menulis ini ialah untuk mengingatkan kita kembali, termasuklah juga diri sendiri, tentang apa yang berlaku di Jolo. Saya bukan hendak berbincang soal politik di selatan Filipina di ruangan ini,tetapi berkongsi pengalaman sebagai seorang wartawan di bumi yang pernah menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Sulu itu. Saya masih ingat lagi kata-kata Nur Misuari kepada saya, “ketika Manila masih dipenuhi belukar dan baru dibuka sebagai penempatan, Sulu sudah ada sistem pentadbirannya sendiri”. Tetapi lihatlah sendiri gambar-gambar yang sempat dirakamkan, kerana peperangan, keadaan Jolo sekarang amat menyedihkan.

Saya mengakui, sebelum kisah penculikan oleh Abu Sayyaf itu, saya tidak tahu menahu tentang keujudan Jolo, apatah lagi tentang sejarahnya, kisah silamnya dan juga tamadun lampaunya. Saat menjejakan kaki ke Jolo, saya diselubungi rasa hairan betapa penduduknya tak ubah seperti orang Melayu kita, tidak seperti rakyat Filipina yang lain. Namun kini saya faham serba sikit tentang Sulu dan penduduknya dan kenapa penduduknya begitu daif. Jolo, ibunegeri Sulu mempunyai sejarah gemilangnya sendiri yang bermula pada tahun 1390. Islam berkembang sebagai suatu system pentadbiran dan politik, terutamanya sewaktu kegemilangan Kesultanan Sulu pada abad ke-15. Ini menjadikan Islam institusi politik, agama, pelajaran dan tamadun yang pertama di Filipina. Penduduk di sini kebanyakkannya dari Bangsa Moro, satu nama am untuk 13 kumpulan ethnik Islam di Filipina, dimana kumpulan utamanya ialah Maguindanao, Maranau dan Tausuq. Sebelum kedatangan Sepanyol pada abad ke 16, Bangsa Moro adalah pemerintah di kepulauan ini, melalui Kesultanan Sulu dan beberapa Kesultanan lain. Namun sebelum Bangsa Moro sempat berkembang menjadi satu negara, sepertimana Bangsa Melayu dari Kesultanan Melaka terbentuk akhirnya dibawah Tanah Melayu, Bangsa Moro dijajah Sepanyol dan akhirnya oleh Amerika.

Perjanjian Paris yang menamatkan perang Amerika Sepanyol 1896-98, menyaksikan Amerika mendapatkan keseluruhan Filipina termasuk Mindanao (Kepulauan Sulu adalah sebahagian dari Mindanao), dengan bayaran sebanyak 20 juta dolar kepada Sepanyol. Apabila Filipina merdeka, Mindanao menjadi sebahagian dari negara itu. Pada awal 1970an satu gerakan revolusi ditubuhkan secara formal dibawah MNLF dibawah kepimpinan Nur Misuari. Peperangan diantara MNLF dan tentera Filipina memuncak di Jolo pada tahun 1974, dan menjadikan Jolo padang jarak padang tekukur. Dan hanya itulah yang tinggal di Jolo sekarang.

Sebaik saja turun dari bot dari Zamboanga, dan menjejakkan kaki ke bumi Jolo, saya rasa panik. Kesan dari peperangan pada tahun 1970an masih ketara. Bagi anak Malaysia yang sudah sebati dengan dikelilingi keperluan asas, saya panik memikirkan dimana hendak tinggal, bagaimana dengan makan dan minum, selamatkah tempat ni, bagaimana hendak berhubung dengan dunia luar dan macam-macam lagi. Nasib saya baik kerana ditemukan dengan Ibrahim Asmaji yang kemudiannya menjadi pemandu kami. Kami bergerak ke sana kemari menggunakan trak kecilnya. Saya tidak dapat melupakan Ibrahim. Entah apalah nasibnya sekarang. Fasih berbahasa Melayu, sebagaimana kebanyakkan penduduk Jolo yang lain, Ibrahimlah yang menjadi penghubung saya kepada dunia di Jolo. Ibrahim membawa kami ke kampungnya dan memberi layanan sebaik mungkin walaupun dalam serba kekurangan.

Saya masih ingat ketika Ibrahim menghantar kami di jeti untuk menaiki feri balik ke Zamboanga. Tanpa disangka beliau memeluk saya dan menitiskan air matanya. Kegembiraan saya kerana dapat pulang ke Malaysia akhirnya setelah 3 minggu di Jolo, bercampur dengan sedih kerana terpaksa meninggalkan seorang rakan yang begitu mengambil berat tentang kebajikan saya ketika disana. Saya masih ingat senja pertama saya di Jolo, saya berjalan keluar seorang diri dari Helen’s Lodge untuk ke pondok telefon berhampiran untuk menghantar balik laporan ke Malaysia untuk berita jam 8 malam. Tanpa saya sedari “kehilangan” saya itu telah menimbulkan panik. Ramai yang menyangka saya telah diculik. Apabila saya pulang, semua menarik nafas lega. Ibrahim terutamanya begitu risau akan keselamatan saya dan meminta saya berjanji jangan kemana-mana lagi tanpa beliau ada bersama. Walaupun pada mulanya saya rasa begitu risau berada di Jolo, saya berasa selamat akhirnya selama tiga minggu di sana kerana Ibrahim sentiasa bersama saya.

Saya dan Ibrahim berjanji untuk terus berhubungan tetapi agak sukar untuk berbuat demikian kerana Ibrahim tidak tahu membaca dan menulis. Setelah lima tahun, saya terpanggil untuk menulis kembali tentang Jolo kerana berita terbaru yang saya baca di akhbar tentang Jolo, mengingatkan kembali janji saya pada Ibrahim. Ketika menghantar kami di jeti, di dalam linangan air matanya, Ibrahim meminta agar saya tidak melupakan mereka di Jolo. Saya berjanji tidak akan melupakan mereka. Sebagai wartawan inilah saja yang saya mampu lakukan untuk menunaikan janji saya, mengungkit kembali sedikit pengalaman ketika berada di sana untuk mengingatkan rakyat Malaysia tentang nasib saudara kita di Selatan Filipina.

Saya juga menulis disini untuk mengingatkan diri sendiri supaya bersyukur dengan keamanan di Malaysia ini. Mengingatkan diri,bahawa tidak mustahil kita akan mengalami nasib yang sama jika kita tidak memajukan diri. Pengalaman saya di Jolo memberi keinsafan tentang untungnya kita dapat memajukan diri, dapat bergerak bebas, dapat melakukan segalanya kerana negara kita aman. Kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia hanya terbatas oleh kemahuan diri sendiri. Gambar-gambar kenangan di Jolo sering menyedarkan saya tentang banyak perkara. Setiap kali merasa kecewa, setiap kali merasakan hidup penuh dengan kesusahan, ingatan saya pada Ibrahim dan rakan-rakan lain di Jolo kembali menyedarkan saya supaya bersyukur dengan apa yang ada. Kenangan di Jolo juga menyedarkan saya supaya terus berusaha memajukan diri agar anak cucu kita nanti tidak hidup melarat seperti keturunan Kesultanan Sulu di Jolo. Mempertahankan diri dari dihina dan diperlakukan sewenangnya adalah lebih baik dan lebih mudah dilakukan ketika kita berada dalam suasana aman seperti apa yang ada di Malaysia sekarang. Orang Islam mundur kerana kurang pengetahuan. Pendidikan dan memburu pengetahuan dan kemajuan akan mempastikan apa yang kita nikmati di Malaysia sekarang berterusan.

[ENDS]

0 Comments:

Post a Comment

<< Home