Sunday, June 25, 2006

Warga Emas Duduk Rumah Je Ok?

Masyarakat kita umumnya masih beranggapan, bila umur meningkat ke tahap usia emas, sisa sisa hidup mesti dihabiskan di rumah menjaga cucu atau ke surau beribadat. Kita anggap tak manis orang-orang tua kita menghabiskan masa melakukan aktiviti yang kita rasakan hanya layak untuk anak-anak muda seperti pergi ke gim, terlompat –lompat beraerobik dan sebagainya.

Tetapi kenapa tidak? Kenapa usia emas mesti dihabiskan terkurung di dalam rumah? Kenapa masa terluang mesti dihabiskan dengan menjaga cucu sahaja? Tidak salah beribadat di hari tua, malah ianya digalakkan atau dimestikan. Malah menghabiskan masa dengan cucu juga satu aktiviti yang boleh mendatangkan kegembiraan dan ketenangan pada usia emas. Tetapi kini sudah sampai masanya kita memberi lebih ruang kepada ibu bapa kita untuk mempunyai lebih banyak pilihan dalam menjalani kehidupan yang lebih aktif dengan menjalani berbagai aktiviti terutamanya.beriadah dan bersukan.

Setelah menghabiskan sebahagian besar hidup mereka dengan membesarkan anak-anak sepatutnyalah kita memberi sedikit ruang kepada mereka untuk menghabiskan usia emas dengan melakukan aktiviti yang bukan sahaja boleh memberi ketenangan tetapi juga boleh menjaga kesihatan. Jangan beranggapan orang tua hanya layak bermain dengan cucu-cucunya sahaja. Dari persepsi inilah timbul situasi dimana warga emas merasakan mereka terpaksa menjaga cucu dirumah kerana hanya itu yang sesuai dilakukan pada peringkat umur mereka. Ada juga yang melakukannya kerana terpaksa, kerana anak-anak yang sudah berumahtangga perlukan penjaga untuk cahayamata mereka. Datuk dan nenek mana yang sanggup menolak permintaan untuk menjaga cucu mereka?

Namun kini warga emas, sekurang-kurangnya di sekitar Shah Alam terutamanya yang tinggal berhampiran Seksyen 24 ada peluang untuk menjalani kehidupan yang lebih aktif melalui Kompleks Komuniti Warga Emas yang dibuka kepada orang ramai baru-baru ini. Di perkarangan kompleks ini terletak gimnasium Tip Top Fitness & Wellness. Ketika saya sampai di gim itu sekumpulan makcik-makcik dan pak cik pakcik di dalam lingkungan usia 60an melakukan senam robik dengan rakan-rakan mereka. Ianya satu pemandangan yang menceriakan. Sekumpulan warga emas dan juga anak-anak mereka begitu mesra dan berseronok bersenam dan berinteraksi. Memang tidak dapat dinafikan suasana agak kecoh dengan sembang dan hilai tawa pengunjung yang ternyata seronok dapat menghabiskan masa sesama rakan seusia. Bukahkah itu yang sepatutnya dilakukan? Kenapa usia emas mesti dilalui sendirian tanpa teman-teman?

Kebanyakkan mereka yang ditemui di situ mengakui aktiviti yang dilakukan baik untuk kesihatan. Selain dapat menggunakan alat alat senaman yang berbagai di sini, yang jika dibeli sendiri tentulah amat mahal harganya, mereka juga boleh mendapatkan khidmat pelatih peribadi. Pelatih yang disewa akan dapat memberikan perhatian khas dan menyesuaikan bentuk senaman dengan keperluan peribadi dan kesihatan pengunjung. Seperti yang kita sedia maklum bila meningkat usia berbagai masalah yang akan muncul, dari sakit sendi, tekanan darah tinggi, sakit pinggang dan berbagai keluhan lagi. Luahkan masalah kepada pelatih peribadi anda dan biar mereka selesaikan. Kebanyakkan dari pelatih peribadi di sini mempunyai pengalaman luas dalam bidang sains sukan. Malah mereka adalah lulusan dari Fakulti Sains Sukan Universiti Institut Teknologi Malaysia, UiTM yang terlatih dengan kaedah-kaedah saintifik senaman yang betul dan berkesan.

Walaupun memberi pengkhususan kepada warga emas, gimnasium ini menerima pengunjung dari semua peringkat umur. Jika takut untuk meninggalkan cucu di rumah, kalau tiada yang boleh menjaganya bawa saja ke gimnasium ini. Bukanlah tujuan kerajaan negeri Selangor untuk mengkhususkan kemudahan yang ada di Kompleks Warga Emas hanya untuk warga emas sahaja. Ianya terbuka kepada semua masyarakat setempat yang berminat. Bagaimanapun golongan warga emas boleh mendapatkan khidmat khusus yang sesuai untuk keperluan mereka. Senaman yang disediakan untuk warga emas ini adalah sebagai satu kaedah terapi dan bukan sekadar riadah sahaja.

Pemandangan di Tip Top ialah satu pemandangan yang jarang dapat dilihat di pusat-pusat kesihatan yang lain. Ianya lebih mesra pelanggan, kita tidak akan terasa tercabar dengan mesin-mesin dan tubuh-tubuh sempurna dan muka-muka angkuh yang bangga dengan kesempurnaan tubuhnya. Konsep gim ini lebih kepada penjagaan kesihatan dan bukan kecantikkan tubuh badan untuk dipamerkan kepada pengunjung lain atau untuk bersaing sesama sendiri bagi mencapai bentuk tubuh yang dianggap tercantik. Ia juga bukan tempat untuk bermegah dengan pakaian sukan berjenama dan aksesori sukan terbaru sebagaimana selalunya dengan pusat kesihatan yang semakin bercambah sekarang.

Suatu lagi elemen menarik tentang gim ini ialah ia mengambil kira faktor khidmat yang lebih selesa untuk penunjung-pengunjung wanitanya yang kebanyakkannya beragama Islam. Satu kelas aerobik khas diadakan untuk mereka dan satu tempat khas disediakan untuk memberi lebih keyakinan kepada makcik-makcik yang tentu merasa malu untuk melakukan aktiviti di bawah pandangan pengunjung yang lain. Salah satu perkara yang menghalang wanita kita terutamanya yang telah berumur dari melakukan senaman seperti ini ialah perasaan malu. Ini tidak dinafikan, malah dalam budaya dan adat resam wanita melayu yang beragama Islam memang tidak manis bercampur aduk dengan lelaki bukan muhrim untuk melakukan aktiviti yang sebegini. Tetapi di Gym Tip Top ini satu tempat khas disediakan untuk pengunjung wanita yang mahu dilindungi dari pandangan pengunjung lain terutamanya lelaki. Malah pelatih peribadi wanita juga disediakan untuk makcik makcik dan kakak kakak melakukan segalanya yang diperlukan untuk kesihatan mereka tanpa rasa malu dan bimbang. Dan jika tidak sempat pulang ke rumah bilik sembahyang ada disediakan. Ceramah agama dan berbagai aktiviti keagamamaan juga ada dijalankan.

Aktiviti dan kemudahan yang ada di Kompleks Warga Emas ini walaupun lengkap tetapi masih diperingkat permulaan. Perancangan untuk masa depan sudahpun disiapkan. Kemudahan yang ada di sini akan ditambah termasuklah perancangan untuk melengkapkan kompleks ini dengan dewan badminton, klinik untuk ahli, rumah untuk ibu tunggal dan juga anak yatim disamping rumah persinggahan untuk warga emas.

Namun berbagai aktiviti sudah pun digiatkan menurut Pengurus Kanan gim ini, Nur Ikhwan Mohamad. Menurut Ikhwan yang mempunyai Sarjana dalam bidang sains Sukan mulai bulan Jun satu demonstrasi senaman dengan cara yang betul akan diadakan untuk mengelakkan kecederaan, sesi pemakanan yang betul dan postur badan yang betul juga akan diadakan. Selain dari itu kelas aerobik dan yoga juga akan ditawarkan kepada pengunjung yang berminat. Antara program senaman yang ditawarkan ialah rehabilitasi kecederaan ortopedik, penyakit system kardiovaskular, penyakit darah tinggi, kecederaan/sakit tulang belakang, pengurangan berat badan, bina badan dan senaman untuk kesihatan menyeluruh. Dan semestinyalah terdapat senaman khas untuk warga emas yang dinamakan program khas untuk warga emas (geriatric exercise). Selain dari itu senaman berkumpulan juga diadakan termasuklah untuk taebo, salsa, “boxercise”, Hi-Lo dan Fitball.

Anda hanya perlu berpakaian sukan yang sopan dan membawa tuala senaman sendiri apabila berkunjung ke gim ini. Selain dari itu perkhidmatan yang ditawarkan ialah “sports massage”, “trigger point” dan juga Jacuzzi disediakan percuma untuk ahli kelab.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang aktiviti yang diadakan di sini hubungi Tip Top Fitness & Wellness di talian 013-668 0587. Orang ramai adalah digalakkan menggunakan sepenuhnya kemudahan yang ada di kompleks ini kerana kompleks ini adalah satu percubaan yang sedang dijalankan oleh kerajaan negeri Selangor. Jika kompleks yang terletak di Jalan Pudina di Seksyen 24 Shah Alam ini menunjukkan kejayaan, iaitu digunakan sepenuhnya oleh warga Shah Alam, sama ada warga emas atau sebaliknya, konsep di sebalik penubuhan kompleks ini akan dipanjangkan ke tempat-tempat lain di Selangor.

FAKTA-FAKTA BERKAITAN.

WAKTU OPERASI
ISNIN-JUMAAT 8 pagi-9:30 malam.
SABTU 11pagi-7malam
AHAD 9pagi-5petang,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home