Saturday, July 08, 2006

Monsoon Cup: Hebat Sangat Ke?

Posted by Picasa Kejohanan Perahu Layar Piala Monsun 2005

Kejohanan Perahu Layar Piala Monsun 2005 atau Monsoon Cup 2005 yang digembar-gemburkan, baru sahaja berlalu pada 29 November hingga 4 Disember yang lepas. Ia dikhabarkan berjaya meletakkan Terengganu di mata dunia melalui pancaran ke 178 negara dan disaksikan hampir satu bilion penonton dunia.

Namun, jika anda berada di Terengganu ketika Piala Monsun berlangsung anda pasti tidak akan terlepas dua pemandangan yang berbeza. Di satu sudut Pulau Duyong berlangsung satu acara bertaraf dunia, lengkap dengan segala aksesori setaraf dengan acara bertaraf antarabangsa. Namun disatu sudut lain, hanya beberapa minit jangkauan langkah dari tempat acara berlangsung, satu dunia lain menanti. Satu dunia yang masih didominasi rumah-rumah usang yang mengambarkan taraf hidup penduduk disini yang jauh berbeza dengan limpahan kemewahan di acara yang sedang berlangsung. Perbezaan itulah yang cuba dirapatkan melalui acara bertaraf dunia itu.

Idea Piala Monsun dihasilkan untuk merancakkan industri pelancongan Terengganu yang terhenti ketika musim tengkujuh di Pantai Timur. Pelancongan sebagai industri yang boleh membawa penduduk keluar dari kemiskinan telah diyakini semua sebagai satu kenyataan dan bukan lagi angan-angan. Pantai Timur mempunyai banyak kelebihan, pada buminya dan juga pada penduduknya yang boleh digunakan sebagai tarikan pelancongan, seterusnya menghapuskan kemiskinan.Tiada lagi pihak yang mempersoalkan pelancongan sebagai satu cara untuk meningkatkan taraf hidup penduduk di Malaysia.

Apa yang masih dipersoalkan ialah cara ianya dilaksanakan. Piala Monsun perlu digunakan sebagai pembuka selera kepada produk-produk pelancongan di Terengganu yang lain. Tentunya, pihak berwajib tidak hanya mengharapkan pelancong datang demi untuk menyaksikan sirkit ke-50 Sweedish Match Tour itu semata, tanpa melawat ke tempat-tempat lain di Terengganu. Niat murni disebalik Piala Monsun tidak akan tercapai jika kita hanya mengharapkan acara itu sebagai permulaan dan akhiran pengalaman pelancong di Terengganu, terutamanya pelancong asing.

Setelah puas di Pulau Duyong, pengunjung patut didedahkan atau dicipta keinginan mereka untuk menyaksikan wajah sebenar Terengganu, yang membuatkan negeri ini istimewa di pandangan mata orang luar, termasuk dari Malaysia sendiri. Umpamanya, tidak jauh dari Hotel Primula, hanya lebih kurang lima minit perjalanan melalui teksi, terletak Perusahaan Batik dan Tembaga Wanisma. Di sini anda dapat melihat sendiri bagaimana barang-barang tembaga di hasilkan. Bersembanglah dengan pekerja Wanisma untuk mendapatkan tips tentang perbezaan diantara barangan tembaga yang berkualiti yang dihasilkan anak Terengganu berbanding dengan barangan tembaga yang di bawa masuk dari negara jiran dan dijual merata-rata tempat seperti di Pasar Payang. Keinginan untuk meneroka lebih jauh perlu dicipta di hati pengunjung ketika acara seperti Piala Monsun itu berlangsung. Begitu banyak yang menarik di Terengganu yang boleh menjadi intisari lawatan pengunjung selain dari menghadiri Piala Monsun. Umpamanya, hanya lebih kurang 14km ke utara Kuala Terengganu, terletak Pura Tanjung Sabtu, satu kompleks rumah-rumah Melayu lama yang cukup unik.

Kompleks ini mengandungi 11 rumah yang berusia diantara 150 hingga 200 tahun. Ianya boleh dianggap sebagai satu keajaiban senibina dan manifestasi warisan tradisi Terengganu. Tiada tempat lain di Malaysia yang mampu menawarkan apa yang ada disini. Apa kaitannya kompleks ini dengan Piala Monsun? Pura Tanjung Sabtu ialah satu daripada keunikan dan tradisi yang berada dimerata-rata tempat di Terengganu yang boleh dijadikan sebagai satu elemen yang memberikan kelainan kepada pengunjung-pengunjung Piala Monsun. Namun, tidak terlihat sebarang bahan promosi tentang tempat-tempat seperti Pura Tanjung Sabtu di sekitar khemah utama Piala Monsun itu. Keunikan Terengganu di kejohanan berkenaan seakan tenggelam.

Terengganu sarat dengan kesenian yang tinggi nilainya seperti barang-barang perak dan tembaga, tenunan songkek dan sebagainya yang dihasilkan dengan teliti dari kepakaran yang terbentuk dari pengalaman berkurun lamanya. Buatan dari kepakaran tangan adalah satu hasil seni yang tidak dapat ditandingi oleh barang-barang yang dikeluarkan dari kilang. Dimana-manapun di dunia barangan yang dibuat tangan adalah yang terbaik dari segi ketinggian hasil seninya.Walaupun yang baru, yang hebat dan yang berprestij seperti Piala Monsun berada di hadapan mata, kita berharap yang lama jangan dilupakan. Batik, ukiran, tembaga dan perak adalah salah satu dari elemen yang memberikan identiti kepada Terengganu. Apalah yang ada pada Terengganu jika tidak kerana keseniannya, kalau tidak kerana budayanya. Di Pulau Duyong sendiri terserlah kepakaran anak jati pulau ini. Pulau Duyong terkenal sehingga ke peringkat antarabangsa sebagai tempat industri pembuatan kapal. Kapal-kapal di sini kebanyakkan dihasilkan tanpa banyak bantuan teknologi. Semuanya dari pengalaman dan kepakaran yang terkumpul turun temurun.

Malangnya, ketika berada di kawasan persekitaran Piala Monsun tidak pula kelihatan kelibat atau promosi tentang keunikan atau industri utama di Pulau Duyong ini. Mungkin pada tahun hadapan kepakaran anak jati Pulau Duyong ini boleh diraikan melalui Piala Monsun. Discovery Channel pernah menghasilkan satu dokumentari yang cukup menarik tentang pembuat kapal di Pulau Duyong. Ia boleh ditayangkan kepada pengunjung dan ini boleh memberikan sedikit perspektif kepada pengunjung kenapa Pulau Duyong amat sesuai dari segi hak untuk menganjurkan acara yang sebegitu hebat. Alangkah manisnya kalau kita dapat meletakkan pembuat bot dan kapal di Pulau Duyong sebagai satu simbol yang mewakili “tradisi” Pulau Duyong. Ini kerana Pulau Duyong yang menjadi medan peserta dan urusetia kejohanan berkampung akan berubah dalam masa yang singkat dengan kehadiran Piala Monsun .

Pulau Duyong tidak akan berpaling lagi ke zaman lampaunya. Selepas ini ia akan menjadi taman permainan untuk mereka yang ternama dan berada. Pembangunan sedang rancak dijalankan, dan dibahagikan kepada empat zon utama iaitu pembangunan pesisir air, perniagaan dan perkhidmatan, marina dan elemen sokongan dan pembangunan bercampur. Apabila siap sepenuhnya nanti Pulau Duyong juga akan mempunyai sebuah resort bertaraf lima bintang. Diharap penduduk tempatan mempunyai ruang untuk mengambil peluang yang muncul dari acara bertaraf antarabangsa seperti Piala Monsun itu.

Kita berharap rakyat Terengganu terutamanya penduduk di Pulau Duyong dapat menjadikan kejohanan itu sebahagian dari kehidupan mereka dan dapat merasakan kemeriahan yang di bawa oleh kejohanan ini. Untuk Piala Monsun betul-betul berjaya, penduduk Terengganu perlu berbangga dengannya dan dapat mengambil bahagian dan merebut segala peluang yang muncul darinya. Kerajaan negeri pula mestilah mempastikan segalanya dilakukan untuk membuka peluang itu terutamanya kepada penduduk di sekitar Pulau Duyong. Penduduk Terengganu amnya dan penduduk Pulau Duyong khasnya perlu terbabit secara langsung untuk membolehkan kejohanan ini mencapai objektifnya iaitu meningkatkan taraf hidup penduduk melalui pelancongan. Jika penduduk merasa terpinggir objektif itu tidak akan tercapai. Kebanyakkan rakyat Terengganu masih terlibat dalam industri-industri kecil dan sederhana seperti kraftangan, industri batik, ukiran dan sebagainya. Namun kemana hilangnya representasi industri-industri ini di sekitaran Pulau Duyong ketika Piala Monsun berlangsung? Adakah industri-industri kecil ini dianggap tidak setaraf untuk berkongsi ruang dengan multinasional yang menjadi penaja di kejohanan itu? Apa gunanya Piala Monsun jika ianya hanya memberi habuan kepada syarikat gergasi yang sememangnya nampak potensi acara berkenaan? Piala Monsun adalah untuk rakyat Terengganu dan juga untuk rakyat Malaysia. Objektif utamanya ialah membawa elemen-elemen industri pelancongan yang boleh dijadikan batu loncatan kepada penduduk mendapatkan punca pendapatan yang lebih tinggi.

Pembangunan bernilai ratusan juta ringgit di Pulau Duyong sekarang adalah petanda baik bagi rakyat Terengganu kerana ia mempunyai hubung kait dengan sukan air seperti membuat kapal bertaraf antarabangsa, selain pembangunan pengkalan kapal atau marina. Malah, peluang untuk anak muda yang berkelayakkan mendapat pekerjaan dikawasan berkenaan adalah luas melalui pembangunan yang dijalankan di sini. Namun adakah penduduk disekitarnya bersedia untuk menyesuaikan diri dan merebut segala peluang yang akan muncul? Adakah kerajaan negeri sudah bersedia dengan perancangan teratur untuk mempastikan penduduk tempatan dilengkapkan dengan kemampuan untuk merebut peluang-peluang itu? Atau adakah penduduk tempatan hanya akan menjadi penonton sebagaimana mereka menonton kapal-kapal layar yang bernilai jutaan ringgit bepusing dan berpaling ketika berlangsungnya Piala Monsun itu? Di harap penduduk Pulau Duyong tidak akan tersepit di celah pembangunan dan sekadar menjadi pemerhati sahaja ketika berlangsungnya acara Piala Monsun yang akan datang dan terpinggir di kampong sendiri.